Nama penuh beliau ialah As-Sayyid Habib Noh bin Muhammad Al-Habsyi.
Beliau yang datang dari Kedah adalah merupakan seorang yang berbangsa
arab berasal dari Yaman dan asal-usul keturunan beliau juga adalah
daripada keturunan Rasulullah s.a.w. menerusi nasab Zainal Abidin bin
Sayidina Hussein r.a. Tidak banyak
maklumat yang diketahui tentang kehidupan awal beliau. Beliau yang hidup
sekitar tahun 1788M – 1866 M datang dari keluarga empat adik-beradik
lelaki iaitu Habib Nuh, Habib Ariffin dan Habib Zain (kedua-duanya
meninggal di Pulau Pinang) dan Habib Salikin, yang meninggal di Daik,
Indonesia.
Dari perkahwinan beliau dengan Anchik Hamidah yang
berasal dari Province Wellesley, Pulau Pinang, mereka dikurniakan hanya
seorang anak perempuan bernama Sharifah Badaniah. Sharifah Badaniah
kemudiannya berkahwin dengan Syed Mohamad bin Hassan Al-Shatri di
Jelutong, Pulau Pinang. Pasangan ini kemudiannya memberikan Habib Noh
hanya seorang cucu perempuan bernama Sharifah Rugayah. Dia berkahwin
dengan Syed Alwi bin Ali Aljunied dan mereka mempunyai lima anak, dua
lelaki dan tiga perempuan bernama Syed Abdul Rahman, Syed Abdullah,
Syarifah Muznah, Sharifah Zainah dan Sharifah Zubaidah.
Dari
banyak sumber yang diperolehi, Habib Nuh tiba ke Singapura tidak lama
setelah Sir Stamford Raffles mendarat di pulau itu. Usianya pada ketika
itu mencecah tiga puluhan tahun. Walaupun beliau telah menghabiskan
saki-baki usianya di Singapura dan meninggal dunia di sana, beliau
banyak berjalan, terutamanya ke Johor Bahru dan negeri-negeri lain di
Malaysia untuk berdakwah. Beliau adalah seorang yang amat warak. Waktu
malamnya beliau gunakan untuk solat hingga terbit fajar. Dan beliau
kerap berkunjung ke makam-makam (tanah perkuburan), selalu mendoakan
roh-roh yang telah meninggalkan jasad. Beliau sentiasa berjalan
bersama-sama kawan-kawan rapat melainkan bila dia secara spesifik
meminta untuk bersaorangan diri. [5]
Karamah
Di sini,
saya ingin bekongsi bersama pembaca mengenai kemuliaan yang Allah
kurniakan kepada beliau. Banyak Karamah yang dibuktikan oleh mereka yang
hidup sezaman dengan beliau. Tetapi, tidak ramai yang dapat menyelami
peranannya sebagai orang kerohanian yang sentiasa dirinya hampir dengan
Allah SWT. Kerana peranan sebagai Rijalullah atau Rijalulghaib ini amat
simbolik dan sukar difahami menerusi bahasa dan pengertian yang zahir
sedangkan tugas mereka juga besar. Antara kurniaan Karamah yang
diberikan Allah swt adalah seperti berikut;
1. Menghadiri Sidang Wali-wali. [6]
Mengenai keistimewaan dan ketinggian kedudukan Habib Nuh, Pakcik
Muhammad Abu Bakar, 102 tahun, khadam kepada Syeikh Haji Said Al Linggi
r.h. menceritakan satu peristiwa yang berlaku ke atas gurunya yang ada
kaitan dengan As Sayid Habib Nuh:
Pada satu hari seperti biasa
Syeikh Muhammad Said masuk ke bilik suluk khas selepas sembahyang jemaah
Asar. Seperti biasa juga, Pakcik Muhammad menunggu di luar bilik kalau2
beliau dipanggil masuk oleh gurunya untuk satu2 hajat. Tetapi pada
petang itu beliau tidak dipanggil, dan gurunya keluar dari bilik suluk
itu apabila hampir masuk waktu Maghrib dan terus sembahyang jemaah
Maghrib bersama anak2 muridnya.
Malam itu Syeikh Said tidak mengajar. Selesai sembahyang sunat, beliau bercakap dengan Pakcik Muhammad secara empat mata.
“Engkau tahu aku pergi ke mana tadi?” kata Syeikh Said.
“Saya tidak tahu,” jawab Pakcik Muhammad dengan beradab.
“Aku pergi bersidang di Bukit Qhauf. Aku dan Habib Nuh sahaja yang
mewakili umat sebelah sini. Rasulullah SAW juga hadir, dan engkau jangan
cerita berita ini kepada sesiapa sebelum aku mati.”
Pakcik
Muhammad Abu Bakar menyimpan amanat ini sehingga beliau memberitahu
penulis sewaktu di temui di rumahnya di Seremban pada tahun 1991. Syeikh
Said Linggi meninggal dunia pada tahun 1926. Menurut Pakcik Muhammad,
Bukit Qhauf itu duduknya di luar daripada alam Syahadah. Wallahua’lam.
“Walaupun persidangan itu dihadiri oleh Rasulullah SAW tetapi ia
dipengerusikan oleh orang lain, tak tahulah siapa orang istimewa itu,”
tambah Pakcik Muhammad. “Bila ditanya siapa orang yang mempengerusikan
majlis itu, Syeikh Said tidak memberitahu.”
Syeikh Said jua
memberitahu bahawa majlis yang dihadiri oleh beliau dan Habib Nuh ialah
persidangan wali2 yang membincangkan antara lain tentang satu wabak yang
akan turun, yakni wabak cacar. Dan para wali yang bersidang itu mohon
bala itu supaya tidak turun. Alhamdulillah, makbul. Tetapi menurut
Pakcik Muhammad, “tempiasnya” masih mengenai orang ramai sehingga ramai
yang mati terutamanya orang2 kafir. [Wabak cacar pada masa itu merupakan
penyakit yang sangat bahaya dan belum ditemui ubatnya].
“Saya
tiga hari pengsan dan bahu saya masih berparut diserang wabak cacar itu.
itupun Syeikh Said yang mengubatnya,” kata Pakcik Muhammad sambil
menunjuk parut cacar di atas bahunya.
Cerita ini menggambarkan
peranan tersembunyi As Sayid Habib Nuh sebagai “pencatur dunia” yang
mana kenyataan ini sukar diterima oleh mereka yang hanya menggunakan
akal menilai sesuatu kebenaran.
2. Menunduk Gabenor Yang Angkuh. [7]
As Sayid Habib Nuh dikurniai Allah berbagai2 karamah sebagai tanda
kemuliaan pada dirinya. Pelbagai cerita mengenai kewalian dan karamah
beliau dibawa dari mulut ke mulut sehinggalah kepada Sayid Hassan Al
Khattib, penjaga makam Habib Nuh r.h. Di antaranya adalah seperti
berikut :
As Sayid Habib Nuh bersikap tidak menghormati orang2
yang angkuh dengan kekayaan atau jawatan duniawi. Begitulah, walaupun
orang menghormatinya atau takut kepada Crawford, Gabenor Singapura
ketika itu tetapi Habib Nuh tidak takut kepada wakil penjajah itu.
Dalam satu peristiwa, Gabenor Crawford marah dan menghina Habib Nuh
kerana beliau tidak menghormatinya. Tiba2 sahaja kereta kuda yang
dinaiki gabenor itu terlekat di bumi dan tidak dapat bergerak. Gabenor
naik marah dan bertanyakan hal itu kepada pengiringnya. Tetapi pengiring
itu bertanya kepada tuan gabenornya, “Tahukah tuan siapakah orang yang
tuan marah dan hina itu?”
Gabenor menjawab, “Itu orang gila.”
“Sebenarnya dia bukan gila tetapi dia orang baik dan ada karamah.
Lihat, bila tuan marah kepada dia, dia sumpah dan sekarang kereta tuan
tidak dapat bergerak,” jelas pengiringnya.
Gabenor menjadi
takut dan akhirnya meminta maaf dengan Habib Nuh. Setelah Habib Nuh
menepuk2 kaki kuda itu, barulah kuda itu berjalan pantas seperti biasa.
Sejak itu gabenor sedar betapa As Sayid Habib Nuh mempunyai kelebihan
luar biasa.
Bagaimanapun, pada satu ketika gabenor terus
bersikap bongkak dan sombong dan memerintahkan orang-orangnya menangkap
Habib Nuh dan mengurung di dalam penjara dengan kaki dan tangannya
dirantai. Tindakan keras ini diambil kerana As Sayid Habib Nuh tetap
enggan menghormati wakil penjajah yang beragama Kristian itu. Anehnya,
para pengawal penjara kemudian melihat Habib Nuh di luar penjara. tangan
dan kakinya tidak dirantai. Walaupun ditangkap semula, dia tetap dapat
keluar dan kelihatan seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku padanya
akhirnya beliau dibebaskan sepenuhnya.
3. Kapal Pelayaran, Terbakar Dan Karam. [8]
Dalam satu peristiwa lain, ketika sebuah kapal hendak berlayar, muncul
Habib Nuh di perlabuhan. Habib Nuh menahan barang-barang yang berharga
daripada dibawa bersama dalam pelayaran itu. Orang-orang yang terlibat
tidak senang dengan sikap beliau itu tetapi beliau tetap bertegas;
“Tidak boleh barang-barang yang berharga itu dibawa.”
Setelah lama berbalah, akhirnya orang ramai terpaksa akur dengan
kemahuan Habib Nuh itu dan pemilik barang-barang tersebut tidak jadi
mengirim barangnya dengan kapal itu.
Beberapa hari kemudian,
penduduk Singapura mendapat berita bahawa kapal yang berlayar itu
terbakar dan tenggelam di tengah lautan. Barulah tuan punya
barang-barang tersebut sedar hikmah divsebalik larangan Habib Nuh itu.
Beliau bersyukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT.
4. Habib Nuh Meminta Untuk Melaksanakan Nazar dan Niat.
Dalam satu peristiwa lain, ada seorang saudagar ingin meneruskan
pelayarannya ke Singapura. Dalam pelayaran, kapalnya telah dipukul ribut
kencang. Dalam suasana cemas tersebut, saudagar itu berdoa kepada Allah
agar diselamatkan kapalnya dari ribut tersebut dan dia bernazar jika
sekiranya dia selamat sampai ke Singapura dia akan menghadiahkan kain
kepada Habib Nuh. Setelah sepuluh tahun berlalu, dia pun pulang dari
pelayaran itu. Habib Nuh pergi menemuinya dan menuntut kain seperti yang
diniatkannya itu. Orang itu terperanjat kerana dia tidak pernah
menyatakan niatnya itu kepada sesiapa dan dia sendiri sudah lupa dengan
niatnya itu kerana terlalu lama, tetapi Habib Nuh datang mengingatkannya
akan niat baiknya itu. [9]
Habib Nuh juga dikenali mempunyai
kelebihan untuk tahu masa depan. Beliau seolah-olah tahu jika seseorang
itu sakit, memerlukan beliau atau memaksudkan beliau. Pada satu masa,
seorang India Muslim balik ke India mengikut jalan laut untuk melawat
keluarganya. Dia telah berniat bahawa jika dia kembali ke Singapura
dengan selamat, dia akan menghadiahkan kepada Habib Nuh satu hadiah.
Bila dia pulang, dia terkejut bila melihat Habib Nuh sudah sedia
menunggunya di tepi laut.
Habib Nuh kata kepadanya “Saya
percaya bahawa awak sudah berjanji untuk memberikan sesuatu kepada
saya.” Terkejut, India Muslim itu berkata, “Katakan kepada saya wahai
tuan yang bijaksana, apakah yang tuan hajati dan saya akan dengan senang
hati menghadiahkan kepada tuan.”
Habib Nuh menjawab, “Saya
mahukan beberapa gulung kain kuning untuk disedekahkan kepada orang
miskin, yang memerlukannya dan kanak-kanak.” Sambil memeluk Habib Nuh,
India Muslim itu berkata, “Demi Allah, saya amat gembira untuk
menghadiahkan kepada seorang lelaki yang dirahmati Allah kerana baik
budinya terhadap umat manusia. Berilah pada saya tiga hari untuk
menghadiahkannya kepada tuan.”
Dia telah menunaikan janjinya dalam masa yang dijanjikan. [10]
5. Bertemu Di Kota Mekah. [11]
Beliau dikurniakan oleh Allah swt kebolehan untuk ghaib, dan dilihat
kembali di tempat-tempat yang jauh. Ada yang memberitakan bahawa beliau
telah dilihat sedang solat di Masjid Besar Makkah tanpa secara
fizikalnya pergi ke sana. Pada satu masa, beliau pernah berkata kepada
bakal haji bahawa mereka akan berjumpa di Makkah. Bila jemaah itu sampai
di sana, dia telah disambut oleh Habib Nuh sendiri. Menurut orang-orang
yang hidup sezaman dengan Habib Nuh, mereka pernah bertemu atau berada
dengannya di beberapa tempat dalam satu masa yang sama. Kejadian seperti
ini tidak pelik bagi wali-wali Allah.
6. Tabib Yang Berkat Dan Hebat. [12]
Habib Nuh juga terkenal sebagai tabib yang hebat, terutamanya ke atas
kanak-kanak yang memang disukainya. Pernah beliau menyembuhkan seorang
kanak-kanak yang cedera di kakinya dengan hanya meletakkan tangan-tangan
beliau di atas luka itu dan membaca doa. Dalam masa yang singkat,
kanak-kanak itu sudah boleh berlari semula seolah-olah tiada apa-apa
yang berlaku ke atasnya. Bapa kepada kanak-kanak itu amat gembira, dia
telah memberikan wang kepada Habib Nuh, tapi Habib Nuh memberikan wang
itu kepada yang memerlukan.
Habib Nuh sanggup mengharungi ribut
untuk pergi mengubati kanak-kanak yang sakit. Beliau pernah berjalan ke
Paya Lebar dari rumah beliau di Telok Blangah ketika hujan lebat untuk
mengubati seorang kanak-kanak. Bila beliau sampai di rumah kanak-kanak
itu, ibubapa kanak-kanak itu terkejut melihat pakaian Habib Nuh langsung
tidak basah.
7. Air Bertukar Menjadi Susu. [13]
Dalam
satu insiden lain, Habib Nuh telah dikejutkan oleh tangisan berterusan
anak jirannya. Bila beliau pergi ke sana, beliau dapati bahawa keluarga
itu amat miskin dan tidak mampu membeli makanan untuk anak yang
kelaparan itu. Beliau mengalirkan airmata bila mendengar cerita itu,
lantas mengambil satu tempurung kelapa,menuangkan air ke dalamnya dan
membaca doa. Dengan kehendak Allah, air itu bertukar menjadi susu untuk
diminum oleh kanak-kanak tersebut.
8. Mimpi Kiyai Agung Muhammad bin ‘Abdullah As-Suhaimi BaSyaiban[14]
Dikisahkan bahawa Kiyai Agung Muhammad bin ‘Abdullah as-Suhaimi
BaSyaiban memang selalu mengamalkan bacaan mawlid junjungan nabi s.a.w.,
tetapi kadangkala beliau meninggalkannya. Pada satu malam, beliau
bermimpi dan di dalam mimpi tersebut beliau bertemu dengan junjungan
nabi Muhammad s.a.w. dan Habib Nuh yang ketika itu sudah pun kembali ke
rahmatullah. Dalam mimpi tersebut, Habib Nuh sedang mengiringi baginda
nabi s.a.w. yang sedang berjalan di hadapan rumah Kiyai Agung, lalu
Habib Nuh pun berkata kepada baginda nabi s.a.w.: “Ya RasulAllah,
marilah kita ziarahi rumah kawan saya Muhammad Suhaimi.” Tetapi
junjungan nabi s.a.w. enggan berbuat demikian sambil bersabda: “Saya
tidak mahu menziarahinya kerana Muhammad Suhaimi ini selalu lupakan
saya, kerana dia selalu meninggalkan bacaan maulid saya.” Habib Nuh
merayu kepada baginda nabi s.a.w.: “Saya bermohonlah kepada tuan supaya
dia diampuni.” Setelah itu baharulah junjungan nabi s.a.w. mahu masuk
dan duduk di dalam rumah Kiyai Agung. Inilah kisah mimpi Kiyai Agung,
selepas isyarat mimpi itu, maka Kiyai Agung tidak lagi meninggalkan
bacaan mawlid, sehingga dalam pelayaran sekalipun dan walaupun hanya 2
atau 3 orang sahaja dalam majlis pembacaan tersebut.
9. Keberkatan Menyayangi Kanak-kanak[15]
Antara sifat yang menonjol pada diri As Sayid Habib Nuh ialah beliau
sangat menyayangi kanak-kanak . Sering orang bertemu Habib Nuh bersama
dikelilingi oleh kanak-kanak. Ini sesuatu yang ganjil. Kadang-kadang
beliau singgah di kedai-kedai bersama kumpulan kanak-kanak dan
kanak-kanak itu mengambil seberapa banyak makanan yang ada tanpa apa-apa
bayaran.
Anehnya, ke semua tuan kedai tidak melarang perbuatan
itu. Kerana mereka yakin kedai mereka akan beroleh keberkatan jika
dikunjungi oleh Habib Nuh bersama kumpulan kanak-kanak tersebut. Ini
terbukti, mana-mana kedai orang Islam yang didatangi oleh Habib Nuh
bersama kanak-kanak, kemudiannya menjadi maju dan tidak putus-putus
dikunjungi pelanggan.
Sayid Habib Nuh sayang kepada kanak-kanak
kerana mereka adalah Ahlul Jannah (ahli Syurga). Kelakuan Sayid Habib
Nuh itu agak ganjil bagi seorang yang sudah tua. Memang itu di antara
keganjilan Habib Nuh, seorang yang mempunyai keistimewaan yang
terlindung.
10. Tebuan Menghormati Jenazah Beliau[16]
Diceritakan ketika keranda jenazah beliau diusung untuk ke makam
pusaranya, mereka yang mengusungnya terpaksa membawa keranda tersebut
melalui ke satu lorong kecil. Di mana kiri dan kanan sepanjang
perjalanan di lorong kecil tersebut kedapatan penuh dengan pokok buluh
Cina serta dedaunnya yang panjang. Semasa melalui lorong itu, keranda
tersebut merempuh sarang tebuan sehingga sarang itu pecah. Tetapi
tebuan-tebuan itu tidak sedikit pun menganggu orang ramai yang
mengiringi jenazah itu.
11. Pusara Terselamat Dari Letupan Bom dan Pemugaran.
Karamah beliau tidak habis di situ saja. Semasa Perang dunia kedua,
bila Telok Blangah dibom dengan hebatnya oleh Jepun, tidak ada satu bom
pun singgah di pusara Habib Nuh. Dan bila kerajaan Singapura mahu
membina satu jalanraya di Tanjung Pagar, jambatan telah direka bentuk
untuk membengkok melengkarinya, tingginya hampir sama dengan kedudukan
Makam Habib Nuh. [17]
Dikatakan, menurut rancangan pemerintah, makam Habib Nuh dan Masjid
Haji Mohd Salleh perlu dipindahkan demi membolehkan pembinaan Highway
dibina lurus. Dengan membelakangkan rayuan daripada jawatankuasa makam
dan masjid, kontraktor pembangunan telah menempatkan beberapa jentolak
untuk memulakan pemugaran. Dengan kuasa Allah swt, semua jentolak tidak
dapat dihidupkan. Akhirnya, lebuh raya terpaksa dibina membelok di
antara sekitar makam dan masjid. [18]
Banyak lagi kejadian aneh
yang dihubungkan kepada karamah Habib Nuh ini. Walau apa pun khawariqul
adah (perkara di luar adat) yang berlaku pada dirinya, maka itu
bukanlah tuntutan kita. Yang pasti, sejarah telah menyaksikan bahawa
Habib Nuh al-Habsyi adalah seorang wali Allah yang soleh taat kepada
ajaran Islam. Lihat, bukan sahaja jelas karamahnya sewaktu hayat beliau
masih hidup, bahkan setelah kewafatan beliau juga masih terpelihara
kemuliaanya. Apa yang diharapkan adalah agar kita dapat mengikuti jejak
langkah beliau dalam menuruti perjalanan usaha junjungan nabi Muhammad
s.a.w. Mahabbah kepada para solihin adalah dituntut dan seseorang itu
nanti akan berada bersama orang yang dikasihinya di akhirat kelak.
Nasihat dan Wasiat
Beberapa hari sebelum beliau meninggal dunia, beliau telah memberikan
banyak nasihat kepada kawan-kawan setianya. Antara mutiara kata beliau
ialah “Jangan jadi tamak terhadap harta dunia dan jangan punya perasaan
hasad-dengki (dan sebarang perasaan
negatif) terhadap sesiapa sepanjang hidup anda.”
Sebelum meninggal, Habib Nuh telah berpesan kepada kawan-kawannya agar
jenazah beliau dikebumikan di Mount Palmer sebuah (bukit kecil di jalan
Palmer), yang merupakan tanah perkuburan kecil pada masa itu. Walau
bagaimana pun pada hari beliau
meninggal, setiap orang telah lupa
mengenai pesanan itu dan mereka semua bersedia untuk menuju ke tanah
perkuburan Bidadari Muslim. Bila sampai masanya untuk mengangkat
keranda, ia tidak berganjak dari atas tanah. Tidak ada seorang pun
terdaya mengangkatnya. Persekitaran menjadi kelam kabut, dan hampir
setiap orang menangis melihat keranda itu tidak berganjak walaupun cuba
diangkat oleh lelaki-lelaki yang gagah.
Nasib baik, seorang
daripada yang hadir akhirnya teringat akan pesan Habib Nuh tersebut dan
lantas tampil menceritakan hal yang sebenarnya kepada setiap orang yang
hadir.
Setiap orang menyedari bahawa mereka telah lupa tentang
pesanan tersebut, lalu bersepakat memutuskan untuk bergerak menuju ke
Mount Palmer. Dengan kehendak Allah, keranda itu boleh diangkat dengan
mudah dan laungan Allahu Akbar bergema mengiringi perjalanan mereka.
Dengan izin Allah swt, jenazah Habib Nuh telah selamat dikebumikan di
Mount Palmer. [19]
Kewafatan
Setelah 78 tahun
mengabdikan diri beliau kepada Islam, Habib Nuh telah pulang ke
rahmatullah pada hari Jumaat, 27 Julai 1866 bersamaan dengan 14 Rabiul
Awal 1283. Habib Nuh menghembuskan nafasnya yang terakhir di Telok
Blangah, di kediaman Temenggong Abu Bakar, Johor. Apabila berita itu
tersebar, ramai orang daripada pelbagai peringkat, termasuk orang-orang
Inggeris yang telah memeluk Islam melalui beliau, dan mereka yang berada
di kepulauan-kepulauan berhampiran telah datang untuk menziarahi
pusaranya. Pada hari yang sama, semua kereta kuda yang ada di Singapura
memberhentikan aktiviti harian mereka kerana ingin membawa pengunjung ke
makamnya dengan tanpa bayaran. [20]
Di belakang makam Habib
Nuh, terdapat sebuah makam yang dipercayai adalah makam Qadhi pertama di
Singapura pada era pemerintahan British. Beliau dikatakan anak saudara
kepada Habib Nuh dari kaum kerabat Alhabsyi, namanya Said Abdul Rahman
Bin Salim Al-Habsyi r.a yang wafat pada tahun 1867.
Beberapa
tahun selepas jenazah Habib Nuh dikebumikan pada tahun 1890, seorang
hartawan bernama Sayid Muhammad bin Ahmad Al Sagof telah membuat binaan
di atas makam Habib Nuh tersebut. Beberapa tahun lalu makam itu dibaik
pulih kerana binaan lama sudah hampir roboh.
Pada tahun 1962,
kerajaan Singapura menambak laut di sekitar makam itu sehingga menjadi
dataran. Dan di situ juga didirikan bangunan-bangunan. Keadaan tempat
itu sekarang jauh berbeza dengan apa yang digambarkan akan berlaku
sebelum adanya makam Habib Nuh di situ. Dengan itu makam Sayid Habib Nuh
terus selamat dan terjaga.
Makam Habib Nuh yang terletak di
atas sebuah bukit kecil di Jalan Palmer bersebelahan dengan Masjid Haji
Mohd Salleh, kini ianya telah diambil alih sepenuhnya oleh pihak Majlis
Ugama Islam Singapura untuk segala urusan yang berkaitan dengan makam.
Makam beliau tetap terpelihara sehingga ke hari ini dan menjadi
kebiasaan, makam Habib Nuh sering diziarahi oleh orang ramai termasuk
orang-orang Arab dari Hadralmaut dan negara-negara Arab lain serta umat
Islam di sekitar Asia untuk mendapat keberkatan daripada kewaliannya.
Juga sebagai memenuhi seruan Rasulullah s.a.w. supaya menziarahi kubur
agar dapat mengingati mati (zikrul maut). [21]
Semoga Allah merahmati roh beliau.
~Al-Fatihah~semoga saudara dan saudari yang membaca mendapat ilmu dan hidayah dan rahmat dari ALLAH S.W.T.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan